Berkhemah di Malaysia
Menjelajah Alam Sekitar: Berkhemah di Malaysia apabila Anda ingin Merehatkan Minda
Malaysia, sebuah negara hutan hujan tropika yang terletak di tengah-tengah Asia Tenggara menawarkan pelbagai khazanah alam semula jadi yang meliputi dari hutan hujan, pantai yang cantik dan gunung-ganang yang tinggi. Bagi para peneroka alam semula jadi yang ingin menenangkan diri sebentar dari kesibukan kehidupan kota, berkhemah di Malaysia merupakan salah satu opsyen yang popular. Malaysia menawarkan suasana yang ideal kepada para penggemar aktiviti luar untuk menikmati keindahan lanskap dilengkapi dengan iklim tropika dan flora dan fauna yang menarik.
Destinasi Menarik untuk Berkhemah
Aspek yang paling utama untuk berkhemah sudah tentunya ialah tapak perkhemahan. Kepelbagaian destinasi perkhemahan yang menarik dengan ciri unik tersendiri dapat membantu untuk menenangkan minda. Berikut merupakan tapak perkhemahan terkenal dalam kalangan warganegara Malaysia mahupun pelancong asing.
- Taman Negara
Sebagai salah satu hutan hujan tertua di dunia yang dianggarkan berusia 130 juta tahun, Taman Negara menyajikan pengalaman berkhemah yang tiada tandingan. Terletak di tengah-tengah semenanjung Malaysia iaitu Kuala Tahan, Pahang, Taman Negara mempunyai laluan kanopi sejauh 530m dan berketinggian 40m yang merupakan laluan kanopi terpanjang di dunia. Berkhemah di Taman Negara menawarkan anda untuk menjalankan aktiviti pemerhatian hidupan liar seperti tapir, rusa kutub, dan babi hutan.
- Polumpung Malangkap
Terkenal dengan pemandangan yang berlatar belakangkan gunung tertinggi di Asia Tenggara, iaitu Gunung Kinabalu, Polumpung Malangkap sememangnya tapak perkhemahan yang sangat menenangkan. Bagi yang ingin berkhemah, anda boleh membawa kelengkapan sendiri ataupun menyewa barang-barang yang disediakan.
- Taman Negara Gunung Ledang
Sebagai gunung tertinggi dan mempunyai kisah lagenda di negeri Johor, Taman Negara Gunung Ledang merupakan tempat berkhemah yang menarik dan kaya dengan lebih 160 spesis burung. Taman ini menyediakan fasiliti yang lengkap untuk kemudahan pengguna seperti tandas, surau, dan tempat memasak.
- LongSha Camping & Boat Services
Terletak di Pulau Kapas, Terengganu, LongSha Camping & Boat Services menawarkan tapak perkhemahan dan aktiviti menarik dilengkapi dengan perkhidmatan bot.
- Meteor Garden Recreational Farm
Salah satu pusat perkhemahan yang terkenal di Sarawak ialah Meteor Garden Recreational Farm, Kuching. Taman ini dikelilingi alam semula jadi yang indah dan juga terdapat sungai untuk aktiviti bermandi-manda. Fasiliti asas berkhemah seperti tandas, sewa khemah, dan tempat BBQ juga disediakan dengan kadar sewa yang berpatutan.
- Tapak Perkhemahan Lasir, Tasik Kenyir
Aktiviti berkhemah di sekitar tasik buatan terbesar di Malaysia ini bukanlah sesuatu yang baharu. Bukan hanya sekadar tasik, malah pengunjung juga boleh meluangkan masa di 14 air terjun yang terdapat di sini. Banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini seperti memancing, berkayak, dan mendaki gunung.
- Willow Tree Campsite
Sekiranya anda ingin berkhemah di sekitar ibu kota Kuala Lumpur tanpa perlu merentas negeri lain, maka WIllow Tree Campsite yang terletak di sekitar Selangor dan Cherating mungkin menjadi pilihan yang baik untuk anda.
- Yunkai Campsite
Tapak perkhemahan ini terletak di Genting Highlands, Pahang, yang mempunyai ketinggian 850m dari paras laut. Pada waktu malam, pengunjung yang berkhemah di sini berpeluang untuk menikmati langit yang dipenuhi bintang. Paling menarik, anda berpeluang untuk menyaksikan karpet awan pada awal pagi sebaik sahaja anda bangun daripada tidur.
- Gopeng Glamping Park
Bagi anda yang menyukai suasana alam sekitar tetapi mahukan keselesaan, anda perlu mencuba ‘glamping’ yang berkonsepkan perkhemahan yang selesa. Selain daripada pemandangan alam semula jadi yang menakjubkan, Gopeng Glamping Park juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti ATV, arung jeram, penerokaan gua, dan paintball.
- Time Capsule Retreat
Selain glamping di Gopeng, Time Capsule Retreat di Sungai Lembing, Pahang, juga menawarkan tapak perkhemahan mewah yang menggabungkan keindahan alam dan kemewahan ibu kota. Bertemakan kapsul silinder, setiap bilik menawarkan penginapan selesa kepada pengunjungnya.
Sudah terbukti bahawa meluangkan masa untuk menikmati keindahan alam sedikit sebanyak dapat membantu seseorang individu untuk menenangkan diri. Jadi, dengan senarai tapak perkhemahan di Malaysia ini, anda boleh merancang untuk meluangkan masa dengan keindahan alam sekitar.
